Tetap lawan PAS di Terengganu – Ahmad Said

Tetap lawan PAS di Terengganu – Ahmad Said

Ahmad Said berkata demikian selepas mengesahkan tidak akan memberi laluan kepada BERSATU dan PAS dalam pembahagian kerusi seterusnya akan bertanding di semua kerusi DUN dan parlimen di Terengganu.

Sinar Harian juga turut melaporkan, bekas Menteri Besar Terengganu itu menegaskan tidak akan berlaku sebarang kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) dengan PAS dan juga tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN) yang akan meyebabkan UMNO terpaksa mengalah kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)

“Memang UMNO akan bertanding di Parlimen Hulu Terengganu, kenapa kita nak beri kepada dia (Bersatu) sedangkan kerusi itu dimenangi atas tiket UMNO. Kita juga tidak masuk (gabungan) PN,” kata Ahmad Said dipetik ketika ditanya Sinar Harian.

Ahmad juga berkata, MN juga tidak memberikan petunjuk akan berjaya dan PAS tidak menunjukkan minat untuk menjayakannya.

“Apa yang Pas buat untuk bersama kita (MN)? Pemberian peruntukan, JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung) pun tidak adil. MN tak berlaku di Terengganu,” katanya.

Kenyataan ini bukanlah kali pertama disuarakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu itu, sebelum ini Ahmad juga telah menegaskan pendirian sama.

ADUN Kijal ini sentiasa lantang mengkritik kerajaan negeri walaupun di peringkat pusat UMNO dan PAS adalah bersama membentuk kerajaan persekutuan.

 

CATEGORIES