Tebang Balak : Raja Bahrin Minta Menteri Alam Sekitar Nasihat Kerajaan Negeri

Tebang Balak : Raja Bahrin Minta Menteri Alam Sekitar Nasihat Kerajaan Negeri

Pengerusi Amanah Negeri Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah meminta timbalan presiden PAS yang kini menjawat jawatan menteri alam sekitar untuk menasihat kerajaan negeri Terengganu untuk menjaga kelestarian alam.

Katanya dalam satu kenyataan setelah viral sebatang pokok balak berusia 500 tahun ditebang di negeri dibawah pentadbiran PAS itu.

“Hari ini timbul satu lagi isu alam sekitar, yang viral di seluruh negara iaitu isu balak ‘gergasi’ luar biasa besarnya yang berasal dari Terengganu yang dibawa lori melalui lebuhraya.”

“Seorang pakar pencinta alam sekitar, En. Khaidir Ahmad telah menyoal bagaimana pokok begitu besar berusia sekitar 500 tahun boleh dibenarkan untuk ditebang. Ia sepatutnya dipeliharai sebagai warisan khazanah alam semula jadi negara kerana jenis pokok dipercayai cengal sudah hampir pupus.”

Raja Bahrin persoal adakah kerajaan negeri serius untuk memelihara warisan alam semula jadi di Negeri Terengganu. Beliau turut bimbang aktiviti pembalakan secara meluas akan mengembalikan risiko banjir besar seperti tahun 2014 lalu di Negeri Terengganu yang menyaksikan beberapa daerah terjejas teruk.

Menurutnya, amat menghairankan apabila Terengganu dengan bajet tahunan sebanyak RM 2.1 billion, begitu kaya dengan hasil minyak dan gas yang kini royaltinya telah diberi secara terus oleh Kerajaan Pusat, tetap bersikap rakus dan tamak memusnahkan alam sekitar dengan pembalakan dan aktiviti kuari secara begitu agresif.

“Mana perginya wang royalti minyak sehinggakan alam sekitar pun sanggup dimusnahkan dengan rakus demi mengejar hasil wang tambahan? ” soal Raja Bahrin.

“Islam menuntut kita memelihara alam sekitar. Nabi sendiri pun melarang pokok ditebang walaupun sewaktu perang apakan lagi semasa keadaan biasa.”

“Menteri Alam Sekitar yang juga Timbalan Presiden PAS sepatutnya menasihati dengan baik Kerajaan Negeri yang dikuasai oleh PAS juga. ”

Beliau turut menyeru agak kerajaan negeri jangan bersikap rakus digondolkan dan bukit kuari diratakan habis demi mengejar kekayaan dunia semata mata dan melupakan ajaran Islam yang sebenarnya.

“Bukankah Kerajaan Negeri Terengganu hari ini mengakui dirinya kerajaan Melayu – Islam yang berjanji membela masa depan orang Melayu dan memelihara teguh ajaran Islam mengikut sunnah Nabi? ”

CATEGORIES