Tanah Rizab Melayu Terengganu Semakin Berkurang?

Menteri Besar Terengganu perlu menjelaskan kedudukan sebenar kawasan tanah rizab Melayu yang didakwa sangat rendah berbanding negeri lain.

Menurut Ketua Pemuda AMANAH Terengganu, Zamir Ghazali dalam sisipan Facebooknya berkata tanah rizab di negeri itu sangat rendah jika dibandingkan dengan negeri Pahang, Kelantan, Kedah dan Perak.

“Tanah rizab Melayu di Terengganu sangat rendah jika dibandingkan dengan negeri lain seperti Pahang yang mempunyai 12.41%, Kelantan 31.82%, Kedah 31.86% dan Perak 43.50%,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri perlu menyatakan jumlah sebenar pertambahan peratus dan keluasan tanah rizab Melayu di negeri itu sejak PAS mengambil alih kerajaan.

“Saya kira sudah sampai masanya kerajaan negeri menyatakan jumlah sebenar pertambahan peratus dan keluasan tanah rizab di negeri Terengganu,” tegasnya.

Perkara sama turut dibangkitkan oleh Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu, Azan Ismail pada 16 Ogos 2019 lalu yang bimbang dengan keadaan tersebut.

Jelas Azan, keadaan itu amat kritikal dan perlu segera diatasi memandangkan kawasan tanah rizab Melayu di negeri ini terlalu kecil berbanding jumlah keluasan tanah negeri 1.295 juta hektar.

CATEGORIES