“Selesai Segera Isu Projek Sakit”- Raja Kamarul Bahrin

Kerajaan Negeri Terengganu diingatkan agar tidak terus berdiam diri dalam menyelesaikan siasatan terhadap tiga projek pembangunan yang melibatkan kerugian jutaan ringgit.

Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah mengingatkan kepada Menteri Besar Terengganu agar segera menyelesaikan isu tersebut.

“Saya ingatkan semula tentang sejauh mana siasatan dan proses keadilan kepada tiga projek besar di Terengganu yang melibatkan jumlah yang besar wang rakyat”.

Tiga projek yang dimaksudkan beliau termasuklah siasatan runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Taman Ilmu Tembila di Besut dan Kompleks Bebas Cukai di Kenyir.

Menurutnya, setakat hari ini, tidak ada tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk memperbetulkan keadaan itu.

“Menteri Besar mesti membetulkan semula keadaan ini ketika beliau berkuasa sekarang.

Jika tidak, siapa lagi yang membetulkannya? Sampai bila kita hendak membiarkan penyelewengan itu terus didiamkan?,” soal beliau.

Taman Ilmu Tembila, Besut

Untuk rekod, projek pembangunan Taman Ilmu Tembila yang bernilai RM350 juta itu bukan sahaja terbengkalai menjadi projek sakit, malah bangunan pentadbiran juga terpaksa dirobohkan serta kehilangan peralatan elektrik menyebabkan kerugian jutaan ringgit.

Kompleks Bebas Cukai di Kenyir yang bernilai hampir RM300 juta juga belum dapat digunakan sepenuhnya selepas 10 tahun disiapkan.

Tegasnya, rakyat Terengganu menanti tindakan yang perlu dilakukan oleh kerajaan negeri ke atas penyelewengan projek-projek itu.

“Rakyat Terengganu menanti-nanti, apa tindakan Menteri Besar sekarang ke atas penyelewengan projek-projek besar yang telah berlaku sebelum ini,”

CATEGORIES