Selamatkan pelajar kita apabila ke sekolah sekarang?

Selamatkan pelajar kita apabila ke sekolah sekarang?

Oleh RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH

 

1. Ramai rakyat Malaysia agak terkejut dan hairan keputusan untuk membuka semula prasekolah dan tabika mulai 1 Julai 2020 sementara sekolah rendah dan menengah masih ditutup kecuali hanya tingkatan 5 dan 6 yang akan menghadapi peperiksaan.

2. Sebelum ini, ramai guru dan ibu bapa menyatakan kebimbangan mereka jika sekolah rendah dibuka, bagaimana kawalan pergerakan dan SOP ‘social distancing’ anak anak kecil ini dapat dipraktikkan.

3. Jika sekolah rendah pun susah untuk dikawal, bagaimanakah caranya anak anak yang jauh lebih kecil di prasekolah dan tabika akan dikawal dan diuruskan dengan selamat?

4. Restoran biasa pun tidak membenarkan anak dibawah 12 tahun dan kawalan penjarakan sosial dewasa dikuatkuasakan. Pelbagai peraturan untuk dewasa juga dikenakan dipejabat dan dikedai.

5. Bagaimanakah guru akan mengawal pergerakan serta aktiviti anak kecil yang sangat aktif dan dinamik yang memang secara semula jadinya suka berinteraksi secara rapat dan dekat? Ini adalah situasi yang amat sukar malahan hampir mustahil untuk dilaksanakan.

6. Adakah kerana ingin memudahkan ibu bapa kembali berkerja sepenuh masa untuk tujuan memulihkan ekonomi negara, keputusan ini telah diambil oleh kementerian yang berkenaan secara mendadak?

7. Kalau benar, ini adalah satu tindakan yang sangat malang serta tidak bertanggungjawab. Jangkitan dikalangan anak kecil di prasekolah dan tabika yang sangat cepat merebak kerana mereka sering berinteraksi begitu rapat sesama mereka yang menyebabkan selsema dan batuk biasa pun senang dan cepat merebak luas seperti sebelum ini.

8. Jangkitan boleh berlaku dari dewasa, ibu bapa atau kakitangan tabika, kepada anak dan seterusnya di kalangan anak anak di tabika. Bayangkan kalau ada jangkitan Covid19 berlaku di tabika betapa padahnya akibat yang akan berlaku.

9. Pada 16 Mei baru baru ini Ketua Pengarah Kesihatan, Dato Noor Hisham, menyatakan kanak kanak dibawah usia 12 tahun adalah golongan berisiko tinggi menerima jangkitan COVID-19. Ini adalah kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

10. 317 kes melibatkan anak dibawah usia 12 tahun dan 112 kes adalah dibawah usia 4 tahun. Negeri Selangor, dengan 77 kes adalah yang tertinggi bagi mereka di bawah 12 tahun diikuti oleh Negeri Sembilan 48 kes, Johor 46 kes dan Kuala Lumpur termasuk Putrajaya 28 kes.

11. Apakah jaminan kerajaan ancaman ini telah berlalu memandangkan statistik ini belum pun sampai satu bulan?

12. Saya berpendapat kerajaan tidak berlaku adil kepada anak anak kecil ini yang akan terdedah kepada risiko di mana mereka belum berupaya dan tidak mungkin boleh menguruskan diri sendiri dalam keadaan ibu bapa mereka tidak bersama mereka di prasekolah atau tabika.

13. Laporan pada 9 Jun 2020 menyatakan di England sekolah rendah masih tidak akan dibuka pada musim panas Jun Julai ini atas sebab keselamatan anak anak.

14. Matt Hancock, Menteri Kesihatan United Kingdom, menyatakan sekolah menengah hanya akan di buka paling awal pada bulan September 2020. Keputusan hanya akan dibuat setelah semua pihak bidang pendidikan berkenaan dirujuk dan 5 kriteria kritikal penting di penuhi.

15. Soalnya adakah kerajaan Malaysia telah merujuk kepada para pendidik dan pakar berkenaan sebelum mencapai persetujuan membuka sekolah atau adakah ia lebih keputusan politik untuk kepentingan perniagaan serta ekonomi?

16. Banyak negara memulakan sekolah secara atas talian (online) untuk memelihara keselamatan anak anak.

17. Setelah pihak KKM dan frontliner kesihatan berjaya membendung penularan COVID19 dengan baik, janganlah kerajaan mensia siakan usaha KKM dengan mendedahkan anak kecil pula kepada risiko jangkitan COVID19 dengan membuka tabika dan prasekolah terlalu awal.

18. Anak kecil adalah amanah Allah untuk kita memelihara mereka dengan baik serta selamat. Ingatlah pencegahan adalah jauh lagi baik dari rawatan nyawa anak yang lemah masih belum boleh memahami dan mengelak bahaya dengan tindakan sendiri dari jangkitan COVID19 .

19. Wang ringgit perniagaan negara boleh diusahakan bila bila masa tetapi keselamatan nyawa anak yang terlalu muda tidak harus diperjudikan hanya untuk memesatkan ekonomi negara pada ketika ini.

20. Kebijaksanaan kerajaan diperlukan dalam menangani isu ini.

———————————
Pebulis adakah Ahli Dewan Negara
Parlimen Malaysia.

CATEGORIES