‘Rider’ foodpanda disaman di Kuala Nerus

‘Rider’ foodpanda disaman di Kuala Nerus

5 orang anak muda yang bekerja di sebuah syarikat penghantar makanan Foodpanda telah disaman ketika mereka sedang berehat dan makan di sebuah wakaf di Kuala Nerus.

Perkara ini didedahkan oleh Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah dalam satu status di Twitter beliau semalam.

Raja Kamarul berkata, anak muda seramai 5 orang itu sedang bekerja dan memakai uniform kerja. Mereka sedang berehat sementara menanti pesanan masuk untuk kerja seterusnya.

“Seharusnya pihak berkuasa lebih berbudi bicara lah sebelum mengenakan tindakan saman” Ulas beliau dalam kenyataannya.

“Setiap daripada mereka telah disaman sebanyak RM1000, pendapatan bagi setiap penghantaran adalah sekitar RM3 hingga RM5. Untuk mengumpul RM1000 mereka perlu mendapat pesanan sebanyak 200 pesanan atau lebih. Itupun jika pesanan adalah tinggi” ujar Raja Kamarul.

Raja Kamarul juga menambah, ironinya kejadian itu berlaku di kawasan Kuala Nerus di mana Ahli Parlimennya yang bertaraf menteri pernah melanggar SOP apabila tidak kuarantin selepas pulang dari Turki.

“Ini menunjukkan polisi dua darjat di mana hanya ikan bilis yang kecil dihukum sementara ikan jerung terus terlepas tindakan” Katanya lagi merujuk kepada Khairuddin A Takiri yang tidak dikenakan tindakan adil selepas melanggar SOP kuarantin tersebut.

Dalam satu status baru lewat malam tadi, Raja Kamarul memaklumkan beliau telah bertemu dengan kapten foodpanda Terengganu dan menyampaikan sumbangan bagi membantu meringankan beban anak muda yang telah dikenakan tindakan saman tersebut.

 

CATEGORIES