Raja Bahrin Risau Nasib Rakyat Apabila Ketua Polis Turut Digugat

Raja Bahrin Risau Nasib Rakyat Apabila Ketua Polis Turut Digugat

Pengerusi Amanah Terengganu , Raja Bahrin melahirkan rasa bimbang berikutan perkembangan beberapa isu dalam negara yang tidak bertemu pengakhirannya.

“Hari demi hari, semakin banyak berita yang mengemparkan melanda bumi Malaysia” tulis Raja Bahrin dalam satu kenyataan.

“Dari skandal mega antarabangsa 1MDB, kes pembunuhan berprofil tinggi tanpa tangkapan dan hukuman yang sepatutnya, rasuah lompat parti politik berleluasa, dan hukuman kesalahan pandemik Covid yang tidak adil dan memilih bulu semuanya mengecewakan rakyat.”

Terbaharu, dakwaan bekas ketua polis yang tegas memerangi rasuah, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai campur tangan politik dalam susunan serta kenaikan pangkat pegawai polis.”

Beliau gusar apabila kesalahan serius ini dipaksakan untuk menjadi normal biasa kepada rakyat.

“Ini semua adalah kesalahan serius dalam mana mana negara demokrasi, tetapi malangnya di Malaysia ia seolah olah menjadi normal biasa yang rakyat dipaksa terimanya sebagai cara hidup.”

Beliau turut mendakwa sokongan terbuka dua bekas ketua polis kepada Hamid Bador sebagai satu perkara luar biasa dalam negara.

Menurutnya, Tan Sri Hanif Omar yang merupakan KPN yang paling lama berkhidmat dan disegani menyatakan pada masa beliau tidak ada menteri yang campur tangan dalam urusan Ketua Polis. Ini amat penting untuk memastikan polis bebas menjalankan tugas dengan adil.

Manakala Tan Sri Musa Hassan pula mendedahkan ada ahli politik mengarahkan pesalah tertentu yang ada kaitan dengan ahli politik diminta dibebaskan dan ada arahan diberi terus kepada Ketua Polis Negeri tanpa pengetahuan beliau.

“Jika KPN, jawatan tertinggi dalam negara tidak aman dan selamat, apakah nasib kita rakyat marhaen di bawah yang mengharapkan pelindungan polis? Di mana tempat kita mengadu dan meminta perlindungan?” soal Raja Bahrin

Menurutnya, Senario di Malaysia hari ini hampir mirip situasi anarki – huru hara negara dunia ketiga benua Afrika yang amat korup tidak berapa lama dahulu di mana kita pernah menghantar tentera pengaman.

CATEGORIES