Peniaga Tawar Kedai Runcit Ganti Bayar Kompaun 50,000

Peniaga Tawar Kedai Runcit Ganti Bayar Kompaun 50,000

Peniaga kedai runcit di Kota Bharu, Mansah Marjurin pasrah dikompaun sebanyak RM50,000 kerana didakwa masih membuka kedai selepas waktu dibenarkan sewaktu PKP.

“Ambillah kedai runcit saya sebagai ganti, memang saya tidak akan mampu untuk membayar kompaun sebanyak RM50,000”.

Mansah berkata dia tiada kemampuan untuk membayar kompaun kerana bayaran rumah juga sudah tertunggak tujuh bulan selain sebuah kereta ditarik oleh pihak bank sejak PKP.

Menceritakan kejadian jam 11.40 malam kepada Portal Berita Harian Metro, ketika didatangi empat anggota polis, premis kedai runcit miliknya sudah ditutup, namun hanya pintu kecil tidak berkunci kerana ketika itu ada saudara datang berkunjung.

“Memang saya sudah menutup kedai dengan keseluruhan pintu sudah dikunci, namun jam 10 malam saudara isteri datang berkunjung di kedai dan ketika itu kami sedang berborak di dalam kedai.

“Pintu kecil pula dibuka kerana ada anak kecil yang keluar masuk, bukannya untuk pelanggan. Selepas itu saya terkejut apabila anggota polis datang dan bertanyakan kenapa kedai masih beroperasi.

“Saya sudah menjelaskan dengan menunjukkan pintu gril yang ditutup namun tetap disaman dengan jumlah RM50,000,”

Mansah mengakui sangat terkejut melihat jumlah kompaun yang dikenakan kerana pendapatan mereka sekeluarga hanya bergantung kepada jualan kedai runcit dan isteri juga tidak bekerja.

“Sejak malam itu, saya buntu dan tidak mengetahui apa yang perlu dilakukan. Saya juga belum membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah kerana masih dalam suasana terkejut. Mungkin hari ini baru saya pergi membuat rayuan.

“Jika diminta bayar, memang saya tidak mampu, ambillah kedai runcit saya sebagai ganti,” katanya

CATEGORIES