Pengurus Besar Paya Bunga Hotel Buat Laporan Polis Terhadap Pemuda AMANAH Terengganu

Pengurus Besar Paya Bunga Hotel Buat Laporan Polis Terhadap Pemuda AMANAH Terengganu

Pengurus Besar Paya Bunga (PB) Hotel, Abdul Hadi Alias menafikan dakwaan salahguna kuasa sebagaimana dakwaan Pemuda AMANAH Terengganu.

TRDI.MY melaporkan, pihak Abdul Hadi memandang serius dakwaan itu dan akan meneliti butiran tertentu termasuk berbincang dengan peguam serta melaporkan kepada pihak polis sebelum mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

“Saya datang ke balai polis Kuala Terengganu ini untuk membuat ‘report’ tentang satu fitnah yang telah dibuat ke atas saya oleh Pemuda PAN Terengganu. Dalam laporan saya, saya menafikan kesemua kenyataan media mereka itu.

“Saya minta perkara ini disiasat di bawah Kanun Keseksaan oleh pihak polis,” tegasnya mengulas mengenai satu ‘posting’ di halaman Facebook Pemuda AMANAH Terengganu yang diterbitkan pagi tadi.

Abdul Hadi menafikan dakwaan beliau mengarahkan pembelian sebuah kereta Honda CRV nombor pendaftaran TCG 6040 berwarna hitam untuk kegunaan peribadi dan memaklumkan bilik yang diubahsuai itu adalah disewakan kepada Ifio Sdn Bhd dengan rekod dan mengikut perjanjian.

“Saya tidak pernah mengarahkan sebarang pembelian kereta. Sebaliknya kereta tersebut serta van operasi (Starex) yang telah pun dibeli sebelum ini adalah dengan kelulusan oleh Lembaga Pengarah PB Hotel sejak 2019 sebagai kemudahan untuk saya serta kakitangan hotel.

“Berikutnya, bilik yang dinyatakan itu telah disewakan kepada Ifio Sdn Bhd yang merupakan syarikat pemaju perisian computer untuk kegunaan mereka. Kesemua urusan sewaan bilik dengan mana-mana syarikat adalah berekod dan mengikut perjanjian,”

“Justeru saya membuat ‘report’ ini agar pengendali halaman Facebook Pemuda PAN Terengganu disiasat di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana telah mengeluarkan kata-kata berbentuk fitnah terhadap saya,” katanya

CATEGORIES