Pemuda Amanah Kesal Exco PAS Kelirukan Fakta

Pemuda Amanah Kesal Exco PAS Kelirukan Fakta

Setiausaha Pemuda Amanah Terengganu, Muammar Qaddafi kesal, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Alias Razak kelirukan fakta dan tuding jari kepada orang lain berhubung kegagalan membantu rakyat teraniaya.

Beliau respon terhadap kenyataan Alias Razak dalam portal TRDI bahawa isu rumah terbengkalai yang dibawa oleh Raja Bahrin adalah sejak 2013 dan menuding jari kepada Raja Bahrin kenapa tidak diselesaikan masalah ini ketika menjadi timbalan menteri KPKT.

“Sebenarnya projek ini sudah terbengkalai sejak 2013, namun tiada tindakan diambil oleh kerajaan persekutuan, meskipun pada tahun 2018 Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah Senator Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah sendiri, sepatutnya pada waktu itu beliau boleh menyelesaikan isu ini dan membantu pembeli, namun itu tidak berlaku sehingga menyebabkan pembeli terus sengsara” kata Alias Razak dipetik TRDI.my

Namun Muammar menjelaskan, pembeli rumah terbabit memberi surat untuk bertemu MB dan pada surat terbabit dinyatakan mereka membeli pada 2016 dan tarikh jangka siap pada 2018, jadi dakwaan Alias bahawa rumah itu terbengkalai sejak 2013 adalah mengelirukan.

“Pembeli kata mereka beli 2016, projek dijangka siap 2018, Exco kata projek ni terbengkalai 2013.
Jadual siap 2018, terbengkalai 2013? Siapa boleh jelaskan tentang perkara ini? ” tulis Muammar dalam Facebook beliau.

Terdahulu, menurutnya sekumpulan pembeli rumah hadir ke Pejabat Senator Dato Raja Kamrul Bahrin , tujuan mereka mengadu soal masalah pembelian rumah yang terbengkalai di Kampung Gong Cempedak, Pulau Kerengga Marang.

“Pada 24 April, Raja Bahrin keluarkan satu kenyataan media bertajuk “BERKUASA DI NEGERI DAN PERSEKUTUAN, TETAPI GAGAL SELESAI MASALAH RAKYAT DI KAWASAN SENDIRI” .

“Pada 25 April 2021, sehari selepas itu Exco kerajaan negeri, Alias Razak telah respon,
Portal TRDI, melaporkan “Projek Terbengkalai, Kerajaan Jumpa Pemaju Rabu Ini”. Maknanya selepas desakan dari Raja Bahrin, baru ada progress, tegas Muammar

CATEGORIES