Pemuda Amanah Dakwa PAS Gagal Selesai Isu Judi Walau Sudah Menjadi Kerajaan

Pemuda Amanah Dakwa PAS Gagal Selesai Isu Judi Walau Sudah Menjadi Kerajaan

Ketua Pemuda Amanah Negeri Terengganu, Zamir Ghazali mendakwa PAS setelah menjadi kerajaan gagal secara total untuk memartabatkan islam di Malaysa.

Menurutnya, setelah kerajaan Perikatan Nasional yang dianggotai PAS menaikkan kembali jumlah cabutan nombor ekor dari 8 kali kepada 22 kali, umat Islam di Malaysia kini berdepan penghinaan dengan kewujudan satu video iklan raya yang mempromosikan permainan judi atas talian.
Iklan promo tersebut sangat melukakan dan benar-benar merupakan ancaman kepada Islam di tanah air.

“Mesejnya tepat mengajak berjudi, persenda kemuliaan Bulan Ramadhan dan 1 Syawal, mempamer budaya hendonisme pergaulan bebas serta tidak menutup aurat.” tulis Zamir dalam satu kenyataan dikeluarkan di page Facebook Pemuda AMANAH Terengganu.

“Ahli Parlimen Pas, Ahmad Marzuk Shaary pernah menggesa kerajaan Pakatan Harapan haramkan judi yang ‘dihalalkan’ oleh kerajaan, khasnya Kasino Genting, Magnum, Sports Toto dan Da Ma Cai. Suara PAS sangat garang ketika itu.”

“Malangnya, sehingga kini setelah Marzuk menjadi Timbalan Menteri Agama, jumlah cabutan nombor ekor ditambah semula kepada 22 kali, dan kini wujud pula iklan judi raya secara terbuka. Jika ini bukan Islam terancam, maka apa lagi mahu disebut.”

Menurut beliau lagi, Ini menunjukkan PAS gagal sebagai sebuah parti yang mempertahankan Islam walaupun menjadi sebahagian dari kerajaan.

Beliau turut mempersoalkan adakah dengan PAS menjadi sebahagian kerajaan hanya untuk mendapat habuan dan jawatan semata mata?

“Apakah keberadaan PAS dalam kerajaan hanya sebagai tukang angguk yang mendapat jawatan dan kekayaan hasil kerajaan tebuk atap? ”

“Hilang sudah prinsip menolak judi secara tegas, bahkan turut bersekongkol dengan kerajaan yang menghalalkan judi?”

Zamir juga mengingatkan bahawa pada pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini, pihak mereka telah mengurangkan jumlah cabutan nombor ekor dari 22 kali di zaman BN, kepada 8 kali namun apa yang mengecewakan di bawah pentadbiran PAS, cabutan nombor ini dinaikkan kembali kepada 22 kali.

“Ini dilakukan oleh PAS tanpa parti DAP di dalam kerajaan. Ini dilakukan oleh sebuah kerajaan yang kemuncak anggota MP Melayu Islamnya.” tulis Zamir, kesal.

CATEGORIES