Pejuang Kesal PKR Tuduh Mahathir Halang Usaha PH Kembalikan Mandat Rakyat

Pejuang Kesal PKR Tuduh Mahathir Halang Usaha PH Kembalikan Mandat Rakyat

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ulya Aqamah Husamudin menyifatkan tuduhan PKR bahawa Tun Mahathir halang usaha Pakatan untuk kembali berkuasa sebagai gelojoh dan tidak berasas.

Menurut beliau, punca Langkah Sheraton terjadi adalah kerana pengkhianatan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang merupakan bekas timbalan Presiden PKR serta Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Jika Dr Mahathir mahu kekal sebagai Perdana Menteri sehingga hari ini, beliau boleh sahaja dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana beliau sebenarnya adalah calon Perdana Menteri Pakatan Nasional (PN).

“Namun, beliau tidak bersetuju dengan pengkhianatan tersebut dan bersedia dibuang daripada parti yang beliau bina sendiri demi pertahankan mandat rakyat dan mengotakan janji kepada komponen PH.

“Kerajaan PH tetap akan jatuh kerana pengkhianatan parti Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Azmin Ali yang keluar daripada PH walaupun Dr Mahathir tidak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri,”

Ulya Aqamah turut melahirkan kekesalan kerana Anwar Ibrahim tidak memasukkan pihak Dr Mahathir dan Pejuang ke dalam senarai sokongan dikemukakan untuk membentuk kerajaan baharu sekaligus menunjukkan PKR tidak mahu bekerjasama dengan mereka bagi mengembalikan mandat rakyat.

“Malah lebih memeranjatkan, PKR sanggup bersekongkol dengan UMNO termasuk beberapa ahli politik kleptokrat yang lain.

“Jadi bagaimana tuduhan dilemparkan kepada pihak Dr Mahathir dan Pejuang sedangkan pihak Anwar Ibrahim sendiri tidak membincangkan soal sokongan,” katanya.

CATEGORIES