NC UPSI telefon Ebit Lew supaya minta maaf

NC UPSI telefon Ebit Lew supaya minta maaf

Lantaran menyediakan bas secara percuma kepada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) semalam untuk pulang ke Pantai Timur, Ustaz Ebit Lew dihubungi Naib Canselor, Prof Datuk Dr Mohamad Shatar Sabran.

Pihak pendakwah berkenaan dihubungi hari ini supaya membuat permohonan maaf secara terbuka susulan inisiatifnya membantu mahasiswa yang terkandas.

Sehubungan itu, Ustaz Ebit tampil meminta maaf dan memaklumkan pihaknya terpaksa menangguhkan 20 bas untuk membantu mahasiswa pulang susulan keputusan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad.

“Saya mohon maaf pada pihak pentadbiran UPSI terutama yang dihormati Naib Cancelor Prof Datuk UPSI sendiri yang menghubungi pihak saya tadi supaya saya membuat permohonan maaf terbuka.

“Saya minta maaf pada semua adik pelajar universiti lain juga. Saya tengok pelajar macam anak-anak saya sendiri. Saya terpaksa tangguhkan 20 bas,” katanya.

Sebelum ini, Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong mencadangkan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) menangguhkan terlebih dahulu pendaftaran secara fizikal atau bersemuka bagi pelajar baharu dan lama untuk kemasukan ke kampus bulan ini.

Gambar : Prof Datuk Dr Mohamad Shatar Sabran

Ekoran keputusan tergesa-gesa itu, ramai pelajar tidak puas hati dan terkandas dalam perjalanan selain berdepan masalah kewangan selepas banyak mengeluarkan perbelanjaan untuk tujuan pendaftaran di universiti masing-masing.

Ustaz Ebit memberitahu niat asalnya menyediakan perkhidmatan bas percuma itu hanya untuk membantu selepas menerima banyak keluhan pelajar.

“Sebab dulu saya berhari-hari lapar itu biasa. Saya memang jarang balik kampung sebab tiada duit. Selalu tidur masjid saja dulu. Makan pun tumpang dekat masjid.

“Saya minta maaf saya salah. Saya cuma membantu. Ramai pelajar dah balik dan ada yang keluarga ambil. Saya cuma siapkan macam bas awam. Syukur bas yang bergerak pun dah sampai selamat,” katanya.

Berkongsikan ciri bas yang disediakannya, Ustaz Ebit berkata, bas-bas tersebut adalah bersaiz besar dengan kerusi dan penjarakan ruang yang selesa.

“Biasa naik bas bayar tapi kali ini percuma dan lebih tersusun dan tak perlu nak ke hentian bas dan naik kereta api. Saya tangguhkan 20 bas sehingga diberi kelulusan,” ujarnya lagi.

 

berita penuh : https://malaysiadateline.com/naib-canselor-upsi-minta-ustaz-ebit-mohon-maaf-terbuka/

CATEGORIES