Muafakat Nasional: Hanya Gah Pada Nama, Muflis Akhlak dan Moral

Muafakat Nasional: Hanya Gah Pada Nama, Muflis Akhlak dan Moral

Oleh: YBM Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah

Apabila Muafakat Nasional dan kerajaan Perikatan Nasional – PN dibentuk, sebahagian rakyat menaruh harapan tinggi untuk masa depan bangsa dan negara, terlalu lama sentimen kaum dan agama dimainkan hingga nama Pakatan Harapan berjaya dibusukkan dan Muafakat Nasional dilihat sebagai alternatif paling baik.

Namun makin lama makin jelas nama yang gah tersebut hanya untuk mengelirukan rakyat dengan janji yang manis tetapi realiti lama yang sama penuh dengan budaya lama kroni, rasuah dan undang undang antara dua darjat masih dipertahan.

Dua isu terkini mendedahkan hipokrisi pembelaan Mak Cik Kiah yang kononnya nasib rakyat biasa yang di beri keutamaan. Sistem antara dua darjat dan kronisma masih subur di era kerajaan PN.

Seorang Menteri PN dengan rombongannya pergi ke Turki, negara yang dilanda hebat wabak COVID 19, telah tidak kuarantin diri dan menghadiri berbagai majlis di seluruh negara termasuk ke Parlimen dan ke Istana Negara dalam tempoh kritikal pengasingan diri 14 hari.

Kita sedia maklum rakyat biasa ada yang telah dikenakan hukuman denda RM 8,000 dan penjara satu hari, ada di kenakan denda RM4,000 dan penjara 5 hari dan ada di kenakan denda RM 12,000 serta penjara 5 bulan kerana kesalahan melanggar kuarantin!

Anehnya, untuk menteri yang gagal kuarantin dan bukan sekali engkar, namun berkali-kali gagal kuarantin diri dan hadir program bersama masyarakat, menteri tersebut di denda hanya RM1,000 yang meletakan beliau sebagai denda terendah dibandingkan dengan sahabat-sahabat ‘Mak Cik Kiah’ walaupun beliau mendedahkan seluruh Parlimen dan Istana Negara kepada risiko Covid-19.

DYMM Yang di Pertuan Agong dan Permaisuri Agong telah kuarantin diri sendiri apabila kakitangan Istana Negara didapati positif ujian Covid-19. Begitu keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong atas keselamatan rakyat baginda tetapi seorang menteri dan ahli-ahli kabinet lain tidak memandang serius kesalahan kalangan mereka sendiri. Malahan ada yang cuba mengelak membuat pendirian atau memberi komen.

Jabatan Perdana Menteri (JPM), perlu memohon ampun secara rasmi kepada Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong kerana cuai membenarkan menteri yang dalam pengetahuan rekod mereka masih berada dalam tempoh kuarantin menghadiri majlis di Istana.

Menurut Mohd Khairuddin Aman Razali, beliau telah mendapat kebenaran Perdana Menteri untuk ke Turki. Kecuaian JPM membiarkan YB Khairuddin ke majlis Istana Negara dalam tempoh kuarantin mendedahkan DYMM Tuanku Agong dan semua yang hadir kepada risiko Covid-19.

Jika DYMM Tuanku begitu prihatin keselamatan rakyat dengan kuarantin kan diri dahulu semasa insiden Istana, sangat tidak wajar JPM cuai mendedahkan Tuanku kepada risiko.

Tidak cukup dengan undang undang dua darjat, rakyat turut disajikan insiden Timbalan Menteri Pertahanan YB Dato Ikmal, menulis surat kepada Menteri Pertahanan minta melantik anaknya sebagai Pengarah Pharmaniaga.

Tindakan ini jelas merupakan contoh kronisma secara rasmi. Bukan itu sahaja, menteri pula telah menulis nota ‘saya setuju’ atas surat permintaan timbalannya tersebut mengiakan perbuatan salah tersebut itu. Ini mencerminkan nilai moral yang buruk, nepotisma serta salah guna kuasa oleh mereka yang berkuasa saling bersekongkol dalam kesalahan.

Muafakat Nasional yang dianggotai PAS dan UMNO kononnya untuk kemajuan dan menjamin kekalkan kuasa orang Melayu. Soalnya untuk Melayu mana?

Apa yang jelas kelihatan dalam insiden-insiden terbaru adalah ianya untuk menguatkan lagi monopoli pegangan kuasa pemerintah untuk salah guna kuasa meneruskan budaya kronisma dan rasuah era UMNO-BN.

PAS yang kononnya ingin menasihati UMNO ke arah nilai perundangan suci Islam sedang mabuk kuasa mengamalkan nilai perundangan di antara dua darjat. Satu undang-undang untuk rakyat biasa seperti Mak Cik Kiah, dan satu lagi untuk menteri-menteri dan mereka yang berkuasa.

Kalau undang-undang yang senang di faham dan dilaksanakan seperti hukuman kesalahan kuarantin COVID tidak dapat di laksanakan dengan adil dan saksama, bagaimana pula PAS akan menangani hukum Hudud yang mereka war-warkan sebelum ini? Hukum hudud jauh lagi rumit.

Kalau rakyat biasa yang melanggar kuarantin kerana ke kedai dihukum denda beberapa ribu ringgit dan boleh di penjarakan, adilkah jika ahli Parlimen penggubal undang-undang negara melanggar kuarantin dan memasuki Istana Agong serta Parlimen dan majlis rasmi lain di denda RM1,000 SAHAJA?

Kerajaan MELAYU-ISLAM hari ini hanya berselindung di sebalik imej nilai dan undang-undang Islam untuk mengelirukan rakyat.

Rakyat akan menilai kerajaan hari ini diatas amal dan perbuatan sebenarnya dan bukan janji kosong dan nama yang gah seperti Muafakat Nasional dan kini MELAYU RAYA pula.

Apa guna kerajaan Melayu Islam yang dominan Melayu jika kuasa yang ada diguna untuk menindas rakyat biasa seperti Mak Cik Kiah yang didenda dan di penjarakan atas kesalahan kuarantin, sementara menteri yang sepatutnya di kenakan kuarantin bebas memasuki Istana Agong secara rasmi dan ke Parlimen dan pelbagai majlis rasmi dengan denda istimewa hanya RM 1,000 sahaja dan amalan surat sokongan anak menteri oleh bapanya masih segar diamalkan.

Mungkin inilah yang di maksudkan MELAYU RAYA. Melayu terpilih seperti Menteri MELAYU dan anak-anak Menteri MELAYU senantiasa berhari RAYA dengan segala keistimewaan kekebalan undang undang dan kronisma. Inilah agaknya apa yang dimaksudkan Melayu Raya.

Berbagai nama indah bertemakan perjuangan Melayu Islam diciptakan tetapi kerajaan masih bankrap moral.

Mak Cik Kiah masih mengharapkan pengadilan undang undang yang saksama untuk dirinya dan juga untuk Yang Berhormat si Menteri yang berkuasa.

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH ialah
Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional dan juga Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian TerengganuFokus.

CATEGORIES