MIC Biawak Hidup, Veteran UMNO Mahu Lihat MIC Keluar BN

MIC Biawak Hidup, Veteran UMNO Mahu Lihat MIC Keluar BN

Portal Malaysiakini melaporkan, Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub, menyifatkan keberadaan MIC dalam BN umpama ‘biawak hidup’ yang masalahnya terpaksa ditanggung oleh UMNO.

Mustapha turut dilaporkan berkata dia benar-benar berharap agar impiannya melihat parti itu menarik diri daripada BN menjadi kenyataan.

“Saya tidak risau dengan tindakan MIC itu. Selama ini pun keberadaanya sejak dari zaman (parti) Perikatan hingga BN hanya membebankan Umno. Bagai memikul biawak hidup. Tiada beban batu digalas.

“Malah saya benar-benar berharap supaya MIC keluar dari BN. Biarlah Perikatan Nasional (PN) memperuntukkan lebih banyak kerusi yang MIC boleh menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

“Insya-Allah Umno akan pasti mengisi kekosongan tempat MIC dikawasan majoriti pengundi Melayu yang selama ini diserahkan kepada MIC,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Pada 3 April lalu, seminggu setelah Umno membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu, MIC mengumumkan akan terus menyokong kerajaan PN yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

CATEGORIES