Menteri KPT didesak letak jawatan susulan pengumuman saat akhir.

Menteri KPT didesak letak jawatan susulan pengumuman saat akhir.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad didesak untuk meletakkan jawatan susulan tindakannya pada saat akhir yang mengarahkan agar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menangguhkan pendaftaran pelajar baharu dan lama bagi sesi Oktober ini.

Menerusi tinjauan di Twitter, tanda pagar ‘Menteri KPT Sila Letak Jawatan’ mula menjadi trending dengan rata-rata pelajar kesal tindakan kementerian yang lambat mengumumkan perkara tersebut.

Dengan lebih 23,000 Tweet ketika ini, para pelajar mengakui kerugian ribuan ringgit berikutan kos tiket penerbangan yang sudah ditempah termasuk pembayaran rumah sewa yang sudah dilakukan lebih awal.

Kekecewaan juga disebabkan mereka dikatakan sudah mula mendaftar untuk memasuki semester baru, namun dikejutkan dengan keputusan kerajaan yang baru hari ini mengumumkan penangguhan pembelajaran.

“Hari ini ada yang dah daftar ke kampus dan hari ini jugalah baru KPT buat kata putus. #MenteriKPTsilaletakjawatan.

“Menteri Pendidikan Tinggi yang paling tidak berfungsi adalah Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia sekarang,” ciap pengguna Nadia.

“Ayah saya jual motor dan tangguh bayar kereta sebab nak bayar yuran pengajian dengan nak beli barang barang kolej,” tulis pengguna lain.

Sementara itu, ada yang menganggarkan kerugian sehingga RM6,000 akibat keputusan kerajaan itu.

Ketika ini juga, pengguna Twitter mula menggerakkan senarai kerugian mereka untuk menuntut Kementerian bertanggungjawab dan menguruskan perjalanan balik para pelajar ke rumah masing-masing.

“Pelajar IPT, senaraikan kerugian korang. Kita viralkan tweet ini dan tuntut KPT dan kerajaan untuk berunding dgn syarikat pengangkutan (bas, kapal terbang) untuk uruskan perjalanan pulang pelajar yang dah sampai ke Universiti untuk pulang ke kampung secara percuma.

“Keputusan saat akhir ni sangat membebankan pelajar. Dari segi rumah sewa yang dah dibayar, kos pengangkutan dan sebagainya.

“Kerajaan perlu lebih peka terhadap segala permasalahan ini dan kerugian ini perlu ditanggung oleh KPT dan kerajaan, bukannya pelajar,” tulis Anwar Ahmad.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/pelajar-tuntut-kerajaan-ganti-rugi-menteri-pengajian-tinggi-diasak-letak-jawatan/

CATEGORIES