Mahathir perlu henti serang Anwar

Mahathir perlu henti serang Anwar

Saya bersetuju dengan pandangan saudara Ulya Aqamah Husamudin pemimpin parti pembangkang sepatutnya berhenti berkelahi dan bersepakat untuk menolak kerajaan yang dicuri. Namun begitu,

Ulya sepatutnya menasihati pengasas parti Pejuang iaitu Tun Mahathir supaya berhenti mengeluarkan kenyataan seolah-olah Mahathir tidak sebulu dengan pimpinan parti pembangkang yang lain.

Ulya mengatakan kenyataan Tun Mahathir bahawa Anwar tidak layak mengemudi kerajaan dalam krisis ekonomi hari ini.

Saya ingin menasihati Ulya banyakkan membaca buku Sejarah mungkin Ulya lupa, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Menteri Kewangan terbaik negara pernah dihasilkan sebelum ditendang keluar oleh Mahathir.

Ulya juga harus ingat kerana Mahathir meletakkan jawatan tanpa berbincang dengan pemimpin Pakatan Harapan lain barulah kerajaan dirampas.

Kerajaan PH akan kekal utuh jika pengkhianat seperti Azmin Ali dan Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar daripada PH, bukankah Ulya sendiri mengesahkan Mahathir juga diberi pilihan untuk menjadi Perdana Menteri di bawah kerajaan Perikatan Nasional?

Ini bermakna Mahathir tidak mempunyai masalah menarik sokongan dari mana-mana pihak dalam PN untuk menolak komplot dari kem Azmin atau Tan Sri Muhyiddin tetapi apa yang rakyat lihat Mahathir seolah-olah lepas tangan apabila tertubuhnya Kerajaan PN.

Kenyataan Mahathir pada mulanya akan menyokong mana-mana pihak yang mendapat sokongan majoriti namun apabila Anwar Ibrahim mengumumkan beliau mempunyai majoriti, Mahathir adalah orang pertama yang menyerang Anwar.

Ulya juga perlu sedar diri pembentukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebelum itu juga menarik sebilangan MP UMNO. Jika Mahathir boleh meyakinkan parti pimpinan lain untuk menyokong parti baru beliau kenapa Anwar Ibrahim tidak boleh pula?

Kita juga tidak akan lupa bagaimana Mahathir cuba mengelak untuk bertemu pucuk pimpinan PH apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datin Seri Wan Azizah, Lim Guang Eng dan Mat Sabu di kediaman beliau apabila Mahathir tiba-tiba meletakkan jawatan.

Tak perlu cuba pertahankan langkah Mahathir yang tanpa berbincang dengan rakan pimpinan PH lain tapi bila Anwar memulakan langkah dan tidak peduli pada Mahathir, beliau mula kepanasan tidak tentu hala.

Sebagai pemimpin muda yang berkaliber elok jika anda menasihati dulu pengasas parti anda bukan menyerang semberono pimpinan parti pembangkang lain. Yang dilihat memecah-belahkan parti lain adalah Mahathir bukannya Anwar.

Sudah-sudahlah mengharap pada pemimpin yang menjangkau usia 95 tahun, kita perlu berganjak dari pemimpin yang memusnahkan Wawasan 2020 rakyat Malaysia.

 

Yuslaini Azmi merupakan Setiausaha Unit Pendidikan Angkatan Muda Keadilan Malaysia

CATEGORIES