Ketua Penerangan PKR Terengganu Dakwa UMNO Kini Keliru dan “Berbolok Wok”

Ketua Penerangan PKR Terengganu Dakwa UMNO Kini Keliru dan “Berbolok Wok”

Ketua Penerangan Parti Keadilan Terengganu, Syed Al Amin Idrus mendakwa UMNO kini sebuah parti yang keliru dan berbolok wok (celaru)

Menurut Syed Al Amin, Ketika mana Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus didominasi oleh PBBM atau Bersatu dalam pelbagai urusan pentadbiran, UMNO kelihatan lebih tersisih dan berterusan tersorok dalam sebuah kerajaan yang kononnya Kerajaan “Melayu-Islam” yang paling ideal di dunia ketika ini.

Beliau juga mendakwa UMNO bukanlah pejuang tulen bagi orang-orang Melayu kerana para pemimpinnya masih lagi bergantung kepada pangkat dan sumber kewangan dalam pentadbiran kerajaan untuk terus bernafas dan hidup. Menurutnya lagi, wang dan kuasa adalah oksigen bagi UMNO dan akan rebah dan hampir mati jika ketiadaan keduanya.

Ketua penerangan PKR itu juga mendakwa ahli ahli dan pemimpin UMNO tidak lagi ghairah bercakap soal ketuanan Melayu apatah lagi bercakap soal untuk membantu mengurangkan derita rakyat.

Menurut Syed secara peribadi, beliau mendakwa UMNO telah hilang jati diri dengan maruah yang tercalar. Hala tuju tidak jelas dan perjuangan mereka lebih kepada mengejar kedudukan pangkat, kuasa dan wang. Kedudukan dan keadaan UMNO Terengganu kini adalah sebuah parti yang tidak berpaksi atau tidak berpendirian tetap.

“Mereka bukanlah sebahagian dari kerajaan negeri dan mereka juga tidak pembangkang. Mereka tidak tahu peranan mana yang sepatutnya untuk mereka. Jika nak jadi sebahagian dari kerajaan, jadi kerajaan betul-betul dan bukannya duduk di “lambor” rumah. Jika nak jadi pembangkang, jadi pembangkang betul-betul perjuangkan nasib rakyat.” tulis beliau dalam satu kenyataan.

“Parti seperti UMNO ini tidak boleh menjadi harapan kepada rakyat Terengganu kerana mereka sendiri tidak mempunyai hala tuju yang jelas tentang perjuangan mereka. Mereka keliru dan “berbolok wok”. Mereka tidak pasti sama ada untuk terus mengekalkan kuasa dan sumber kewangan demi pemimpin mereka di pusat atau untuk berbakti dengan ikhlas kepada rakyat Terengganu.”

“Justeru, UMNO Terengganu bukanlah pilihan yang terbaik buat orang-orang Terengganu masa kini. Mereka seperti ibarat ayam jantan yang dibuli pasangan hasil perkahwinan sangkut. Bersama tetapi tidak mampu beraksi.”

CATEGORIES