Kepimpinan melalui teladan, ADUN Ketari wajar berundur

Kepimpinan melalui teladan, ADUN Ketari wajar berundur

Mengkritik rakan seperjuangan tidak mudah tetapi dalam politik jika benar ingin membawa wadah politik baru kita seharusnya menunjukkan contoh yang baik. Saya cukup kecewa sekali apabila ADUN Ketari, Young Syefura atau dikenali sebagai Rara secara terang-terangan melanggar peraturan SOP Covid19 di saat rakyat Malaysia menghadapi kesusahan akibat pandemik ini. Sementara kita masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 6 Disember ini, Rara dengan mudahnya merentas negeri tanpa memakai pelitup muka dan bergembira bersama kawan-kawan tanpa ada penjarakan sosial seperti yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Saya ingin memperbetulkan kenyataan Rara melalui ciapannya di Twitter yang berbunyi “Saya rela disiasat oleh pihak berkuasa JIKA tindakan saya melanggar SOP Covid19”. Mungkin ayat yang betul begini “Saya meminta maaf KERANA melanggar SOP Covid19” Tidak perlu malu mengakui kesilapan jika sudah terang lagi bersuluh melanggar SOP Covid19. Sebelum ini, Rara dan barisan pimpinan pembangkang yang lain begitu keras mengkritik MP Kuala Nerus, Khairuddin Aman Razali jadi saya berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan dan menjatuhkan hukuman setimpal tanpa ada isu ‘double standard’. Jika Rara ingin menunjukkan contoh politik anak muda yang baik, letak jawatan dan bertanding sahaja pada PRU15 akan datang.

Dalam pada itu, rakyat kebanyakan ada yang dikenakan kompaun hanya kerana tidak memakai pelitup muka dan tidak mematuhi SOP Covid19. Saya tidak mahu hanya kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Anak muda yang dikatakan membawa corak politik yang progresif perlu menunjukkan politik teladan yang baik supaya generasi seterusnya terbit rasa malu apabila gagal menggalas tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat. Hal ini bakal menjadi contoh kepada ahli politik yang lain supaya berani melepaskan jawatan jika terbukti gagal melaksanakan tanggungjawab yang diberikan. Sekurang-kurangnya Rara tidak kalah dalam politik moral.

Kita berani mengkritik pihak lawan apabila pihak lawan melakukan kesilapan tetapi kita tidak pula ingin melakukan hal yang sama untuk melepaskan jawatan membuktikan ahli politik tidak kira tua atau muda sama sahaja. Rakyat Malaysia memerhati dan menilai isu ini kerana undang-undang terpakai hanya untuk rakyat marhaen tetapi tidak pada orang politik atau golongan atasan. Jika benar kita ingin mengubah cara politik matang mungkin sebaiknya Rara menunjukkan contoh kepada ahli politik yang lain.

Saya yakin ada yang memakai hujah Rara cuma ADUN dan tidak memegang jawatan kabinet. Ya benar beliau cuma seorang ADUN tetapi perlu diingat kesalahannya sahaja sudah boleh dikenakan kompaun melebihi RM 2,000 yang menyebabkannya hilang kelayakan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di mana dalam Perkara 48 (e) Perlembagaan Persekutuan, mana-mana wakil rakyat akan hilang kelayakan jika dijatuhi hukuman penjara atau lebih atau didenda tidak kurang daripada RM2,000.

Dari Takiri menuju Ketari,
Langgar SOP memang disedari,
Rakyat disaman setiap hari,
Politikus menipu tak kira hari.

 

 

 

 

 

 

YUSLAINI AZMI

Penulis merupakan Setiausaha Unit Pendidikan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

CATEGORIES