Hasbie Muda Kesal Ku Li Label PAS Sebagai Pelacur

Hasbie Muda Kesal Ku Li Label PAS Sebagai Pelacur

Naib Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu, Hasbie Muda melahirkan rasa kesal apabila pengerusi penasihat UMNO melabelkan PAS sebagai “seperti pelacur”.

“Walaupun tidak lagi bersama PAS, saya agak terganggu apabila Ku Li melabelkan PAS sebagai ‘seperti pelacur’ atau istilah yang kita fahami sebagai ‘pelacur politik. Ia suatu perumpamaan yang agak kasar apatah lagi ditutur seorang bangsawan atau ‘anak raja’ yang hidup dalam tatasusila berbudaya yang tinggi.” tulis Hasbie dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyuarakan rasa hairan apabila pemimpin dan ahli PAS hanya berdiam diri melainkan kenyataan Satiausaha Agongnya yang mendakwa ahli PAS tidak faham dengan istilah pelacur.

“Biasanya ahli PAS akan bingkas bangun jika maruah parti dicalar. Anehnya kali ini mereka diam-sediamnya. Sekurang-kurangnya cengkerik juga ada berbunyi krik krik krik tetapi ahli PAS langsung tidak.”

“Kata pepatah Arab, diam tanda setuju. Adakah ahli-ahli PAS setuju dengan label tersebut? Saya musykil.”

Menurut Hasbie, Ku Li bukan sembarangan tokoh di mata PAS kerana sewaktu PRU 1990 dan 1995, PAS mengangkat Ku Li sebagai calon Perdana Menteri jika Angkatan Perpaduan Ummah bersama Gagasan Rakyat menang pilihan raya. Waktu itu PAS ber’tahalluf siyasi’ dengan Parti Semangat 46 yang dipimpin Ku Li.

Menurut beliau lagi, sewaktu PRU 2013, kepimpinan tertinggi PAS terutama Presiden PAS Haji Abdul Hadi Awang bersungguh-sungguh mahukan Ku Li sebagai calon Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menang pilihan raya. Agak aneh kerana Ku Li bukan dalam Pakatan Rakyat sebaliknya UMNO, musuh politik PAS dan Pakatan Rakyat.

“Pastinya PAS memandang tinggi Ku Li.”

“Malangnya, Ku Li memandang PAS terlalu rendah.”

Tambah Hasbie, demi kuasa PAS sudah tidak kisah berdepan penghinaan.

“Apapun, demi kuasa nampaknya penghinaan tidak lagi menjadi masalah buat PAS. Katalah apa sahaja, yang mustahak kuasa terus kekal di tangan.”

Tengku Razaligh sebelum ini menyelar sikap PAS dalam politik dan melebelkan parti islam itu sebagai seperti pelacur.

CATEGORIES