Hari Kedua Ramadan, Harga Ayam Mencecah RM9.50 Sekilo

Hari Kedua Ramadan, Harga Ayam Mencecah RM9.50 Sekilo

Harga ayam segar di beberapa negeri menunjukkan kenaikan sehingga RM9.50 sekilogram pada hari kedua ramadan.

Kenaikan itu dipercayai berlaku berikutan pelaksanaan skim kawalan harga musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Hal ini menyebabkan peniaga berdepan kenaikan harga ayam daripada pihak pemborong yang memperoleh harga ayam lebih tinggi daripada pihak pembekal dari ladang ayam setiap kali menjelang musim perayaan.

“Kami sudah menjangkakan keadaan ini berlaku sepanjang musim perayaan dan mereka (pembekal) terpaksa menampung kos sepanjang pelaksanaan skim kawalan harga,” ujar seorang peniaga kepada Sinar Harian.

Peniaga terpaksa menaikkan harga ayam kepada pelanggan disebabkan harga jualan runcit berasaskan harga ayam di ladang yang ditawarkan pemborong.

“Ini kerana semua harga berdasarkan harga daripada pembekal.

“Pembekal naikkan harga setiap kali puasa, jadi peruncit terpaksa naikkan juga selain alasan bekalan ayam kurang,” lapor Sinar

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Sembilan pula mengesan berlaku kenaikan harga ayam sebanyak RM1 pada Selasa.

Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Azman berkata, kenaikan tersebut dikesan melalui hasil pemantauan harian yang dilakukan oleh pihaknya di semua pasar seluruh negeri itu.

“Peniaga didapati menjual ayam dengan harga RM9 ke RM9.50 pada Selasa, menyebabkan berlakunya kenaikan RM1,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini pihaknya tidak menerima laporan daripada orang ramai.

CATEGORIES