Gagal Patuh SOP: Khairuddin Perlu Bertanggungjawab, Hukuman Lebih Berat

Saya tertarik kepada pengisian dan kupasan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali dalam Facebooknya Ust. Dr. Khairuddin at-Takiri pada 4 Ogos yang lalu.

Dalam pengisian itu, beliau cuba untuk menjelaskan bagaimana “popular”nya nama-nama seperti Sivagangga, Napoh, Megat Dewa, Mukim Ah, Hosba dan lain-lain.

Dalam pada itu juga, saya seakan dapat membayangkan bahawa beliau sebenarnya mengkritik Nizar Mohamed Shaburbatha, pemilik Nasi Kandar Salleh di pekan Napoh, Kubang Pasu yang gagal mematuhi SOP untuk mengkuarantinkan diri selepas pulang dari luar negara.

Ekoran dari itu, tercetuslah Kluster Sivagangga yang hingga ke hari ini masih mencatatkan angka jangkitan.

Beliau barangkali ketika menulis artikel itu mungkin lupa atau rasa ‘selamat’ di mana beliau juga turut sama gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani kuarantin diri meskipun mencatat keputusan negatif.

Meskipun kita rasakan kita sudah bernasib baik kerana kluster Sivagangga hanya tersebar di daerah kecil, namun impaknya memberi kesan kepada ekonomi dan pendidikan penduduk setempat yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

Saya tidak rasa beliau lupa siapa dirinya. Masakan beliau tidak tahu, beliau bukan sahaja Ahli Parlimen Kuala Nerus malah turut menjawat jawatan Menteri..! Apa kesannya akibat melanggar SOP untuk dirinya dan orang awam?

Saya tidak dapat membayangkan bagaimana tercetusnya satu kluster baharu, Kluster Takiri. Difahamkan selepas pulang dari Turki, beliau hadir merasmikan Seminar Usahawan Coklat di Kuala Terengganu yang dihadiri ramai pengusaha coklat.

Seperti mana dakwaan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, beliau juga turut hadir ke Sidang Parlimen.

Saya tidak membayangkan apa kemungkinan-kemungkinan yang mungkin akan berlaku sekiranya virus covid-19 ini tersebar di kedua-dua acara yang dinyatakan ini.

Bukan saya sendirian, malahan orang ramai di luar sana turut terkesan pendedahan yang dibuat terhadap Khairuddin ini.

Beliau perlu bertanggungjawab. Kerajaan Prihatin Nasional perlu bertanggungjawab.

Tidak mungkin negara ini mempunyai dua undang-undang terpilih. Satu untuk rakyat biasa, dan satu untuk para menteri.

Jika benar perlanggaran SOP dilakukan oleh Khairuddin, maka tindakan dan penghakiman mestilah sama dengan apa yang telah dihukumkan kepada mak cik gelang pink dan Sivagangga. Malah, selaku individu yang terlibat dalam menggubal undang-undang, perlu dihukum dengan hukuman yang lebih berat lagi.

Rakyat akan menilai sejauh mana kerajaan ini sebenarnya bersikap PRIHATIN.

CATEGORIES