Exco kerajaan negeri hanya mampu tengok rumah rakyat dilanggar jentolak pihak berkuasa

Exco kerajaan negeri hanya mampu tengok rumah rakyat dilanggar jentolak pihak berkuasa

KUALA TERENGGANU, 17 Nov ; Seorang penduduk yang berasal dari Kampung Tok Kaya Kuala Terengganu hari ini melahirkan rasa kesalnya terhadap kehadiran Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah yang hadir tetapi tidak mampu berbuat apa apa apabila jentolak dari Pejabat Tanah Daerah Kuala Terengganu merobohkan struktur rumahnya semalam.

Omar Abdullah, 62 tahun berkata dia terkejut pada pagi semalam apabila menerima ketibaan rombongan dari Pejabat Tanah Kuala Terengganu siap dengan jentolak yang mengatakan struktur rumahnya perlu dirobohkan serta merta kerana menghalang kemajuan kerja projek jalanraya baru.

Omar memberitahu, sebelum ini dia sudah maklum dengan notis daripada pihak berkuasa dan dia patuh dengan arahan tersebut cuma Omar meminta tempoh masa dipanjangkan lagi kerana faktor hujan tidak menentu ketika ini.

“Rumah saya ini cuma kena sikit sahaja untuk laluan paip dan saya sudah berurusan dengan pihak kontraktor paip untuk menyelesaikannya. Saya minta tambahan masa lagi 10 hari untuk saya patuhi notis tersebut kerana sekarang ini musim hujan dan yang kedua saya perlu pindahkan peralatan di bahagian dapur rumah yang memakan sedikit masa. Malah sebahagian struktur pun saya dah robohkannya sendiri” Jelas Omar ketika ditemui petang tadi.

Omar memaklumkan, peristiwa semalam turut mendapat perhatian daripada Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah namun Wan Sukairi gagal untuk berunding dengan pihak berkuasa bagi menangguhkan tindakan meroboh itu.

“Nampak tak jadi apalah” Jelas Omar dengan nada kesal.

Wan Sukairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu hadir sejurus selepas ketibaan pihak berkuasa bersama dengan pegawainya.

 

Wan Sukairi Wan Abdullah

Omar menyatakan dirinya hanya berseorangan sahaja untuk mempertahankan struktur rumahnya dari diroboh. Wan Sukairi yang juga merupakan ADUN Wakaf Mempelam dan juga ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu pun tidak mampu untuk membuat sebarang tindakan atau arahan.

“Benda ni sikit je, tapi kesan kepada kehidupan tu akan menjadi banyak.” Luahnya.

 

 

 

CATEGORIES