Bekas Calon PAS Inderapura didakwa terlibat dengan ajaran sesat

Bekas Calon PAS Inderapura didakwa terlibat dengan ajaran sesat

Tular dokumen keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan yang telah mengharamkan ajaran dibawa Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Kuantan, Prof Dr Wan Maseri Wan Mohd.

 

Menerusi surat bertarikh 23 September lalu, Jawatankuasa berkenaan mendapati ajaran yang dibawa Wan Maseri meragukan dan menyalahi kaedah penyampaian ilmu yang boleh membawa kepada kesesatan.

Mufti kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, kerajaan dengan itu mengharamkan penyebaran ajaran tersebut yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan melarang ianya disebarkan ke negeri itu.

“Pengajaran dan pengajian dalam ajaran Asmaul Husna Wan Maseri Wan Mohd hendaklah dilarang daripada disebarkan kepada masyarakat kerana didapati meragukan dan menyalahi kaedah penyampaian ilmu dan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah serta boleh membawa kepada kesesatan.

 

 

“Kaedah pembelajaran ‘Universiti Antarabangsa Asmaul Husna’ adalah dilarang untuk diajar dan disebarkan kepada masyarakat di Negeri Sembilan,” katanya dalam surat ditandanganinya.

Surat berkenaan juga dilihat mempunyai cop rasmi dari Jabatan Mufti kerajaan Negeri Sembilan.

Sementara itu, tersebar skrip kuliah Alam Lahut yang didakwa kepunyaan Wan Maseri.

Dalam perenggan pertama skrip tersebut, tertulis bahawa Nabi Adam adalah tidak wujud.

“Salam, mari kita doa agar Dzat Allah membawa roh kita semua dalam group ini naik ke Alam Lahut.

“Lailahaillallah, kami bersaksi bahawa Adam tidak wujud, hanya Dzat mu Ya Allah yang wujud yang sedang berbicara pada kami saat ini,” kata surat bertajuk ‘Kuliah Alam Lahut’ itu.

 

 

Wan Maseri bertanding dalam PRU14 pada tahun 2018 di DUN Inderapura dalam Parlimen Kuantan namun tewas kepada calon BN, Syafik Fauzan Sharif.

CATEGORIES