Balak Gergasi Lulus Zaman BN

Balak Gergasi Lulus Zaman BN

Dakwaan pihak tertentu yang mengatakan kayu balak bersaiz besar dibawa dari Terengganu tidak dikenakan bayaran cukai kerana Balai Pemeriksaan Hutan ditutup pada Ahad dinafikan oleh Pengarah Perhutanan Negeri Terengganu, Roslan Rani, lapor portal TRDI.my

Menurutnya, Balai Pemeriksaan Hutan di negeri Terengganu dibuka pada hari tersebut bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan penafsiran cukai telah dibuat di Balai Pemeriksaan Durian Mas, Dungun.

“Kayu tersebut adalah dari kawasan lesen, kompartmen 80, Hutan Simpan Sungai Nipah, ia dibawa keluar melalui kawasan lesen ke Kilang Papan Lanjut Edaran, Durian Mas, Dungun melalui Balai Pemeriksaan Hutan Air putih melibatkan empat Pas Pemindah.

“Pada 10 Mei 2021, satu permohonan telah dibuat oleh pelesen Syarikat Zee Utuh Enterprise kepada Pejabat Hutan Daerah Terengganu Selatan untuk memindahkan kayu itu ke Kilang Hong Seng Sawmil co., Rawang, permohonan itu diluluskan pada 18 Mei.

“Berpandukan itu, empat tual balak berkenaan telah dikeluarkan melalui satu Pas Pemindah di Balai Pemeriksan Durian Mas pada 23 Mei 2021, lori pengangkutan balak bernombor pendaftaran BQB 5512,”

Roslan turut berkata kawasan tersebut sudah lama diluluskan untuk tujuan itu iaitu sejak tahun 2017 namun lesen dikuatkuasakan pada ogos 2019 hingga ogos 2020 dan diberi pelanjutan sehingga April tahun ini untuk tujuan berkenaan.

Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan sedia ada tidak boleh membatalkan kelulusan itu, kerana syarikat terlibat telah mengeluarkan perbelanjaan untuk pelbagai perkara berkaitan.

“Jika dibatalkan kerajaan negeri boleh disaman atau diambil tindakan undang-undang, termasuk terdedah dengan isu integriti dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh siasat kenapa ia dibatalkan,” katanya.

Samsudin Ali, seorang pengguna Facebook melahirkan rasa kesal kerana perbagai alasan digunakan untuk memusnahkan alam tanpa usaha jitu untuk mempertahankan kelestarian alam.

Firdaus Kamalrudin pula persoal kenapa exco dakwah yang menjawab isu ini bukan exco yang menjaga sumber alam negeri.

CATEGORIES