Azman Ibrahim hanya didenda RM2000 langgar SOP Aidilfitri

Azman Ibrahim hanya didenda RM2000 langgar SOP Aidilfitri

JERTIH: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Terengganu Azman Ibrahim hari ini didenda RM2,000 setelah didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri yang berkuat kuasa susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Besut Superintenden Abdul Rozak Muhammad mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama dan berkata kompaun RM2,000 adalah jumlah maksimum yang dikenakan kepada mana-mana individu yang melanggar SOP ditetapkan.

“Bagi mana-mana perbadanan atau pertubuhan yang melanggar SOP Aidilfitri, kadar maksimum kompaun ialah RM10,000,” katanya.

Terdahulu, Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jabi tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut selepas tular di laman sosial gambar beliau dikunjungi seorang tetamu lelaki semalam.

Lelaki berumur 55 tahun itu, yang enggan dikenali, turut didenda RM2,000.

Berikutan pelaksanaan PKP di seluruh negara bermula Rabu lepas hingga 7 Jun, beberapa SOP bagi sambutan Aidilfitri telah ditetapkan termasuk tidak membenarkan aktiviti ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur.

Sumber – BERNAMA

CATEGORIES