Asyraf Wajdi Bidas Timb Ketua Pemuda PAS

Asyraf Wajdi Bidas Timb Ketua Pemuda PAS

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki membidas ucapan Fadhli Shaari yang menyatakan syarat yang dikenakan Najib untuk BN menyokong Belanjawan 2021 sebagai Hikayat Puteri Gunung Ledang.

Asyraf mengingatkan Fadhli bahawa perkara yang dibangkitkan oleh ahli parlimen Pekan itu adalah satu hakikat dan bukannya hikayat kerana apa yang dibawa Najib pada sesi perbahasan Belanjawan 2021 adalah hakikat suara rakyat yang menderita kesusahan.

“Minta maaf ya sahabatku YB Pasir Mas. Ini bukan soal hikayat Puteri Gunung Ledang, ini soal hakikat rakyat yang cuba Ahli-Ahli Parlimen BN terutamanya Najib Razak perjuangkan dan suarakan.

“Hakikatnya…rakyat memang susah dan gelisah, rakyat memang ramai hilang pekerjaan, rakyat memang tak cukup wang untuk kehidupan,” kata Asyraff dalam Facebooknya.

Ahmad Fadhli sebelum ini menyifatkan ‘sokongan bersyarat’ BN terhadap Belanjawan 2021 yang dinyatakan Najib ibarat hikayat Puteri Gunung Ledang dan amat janggal untuk dikenakan sokongan bersyarat seperti itu.

“Sedikit berbeza dengan ahli parlimen lain, saya rasa meletakkan syarat sokongan supaya kerajaan meluluskan pengeluaran kumpulan wang simpanan pekerja (KWSP) akaun 1 dan lanjutan automatik moratorium agak janggal kerana ia tiada keperluan dalam Belanjawan 2021 ini.

“Saya rasa ia seperti (hikayat) Puteri Gunung Ledang yang meminta Sultan Melaka membuat jambatan (emas), hidangan (hati) nyamuk sekian, sekian, namun bukan bertujuan untuk terima pinangan tetapi petanda untuk tolak pinangan itu,” katanya.

Walaubagaimanapun Asyraf menegaskan apa yang dibawa oleh Najib bersandarkan kepada kehendak rakyat.

“Yang diminta dan disyaratkan hanya apa yang rakyat mahukan. Bukan sesukar membina jambatan untuk Sultan mahupun hidangan nyamuk untuk dijadikan alasan menolak pinangan.

“Yang disyaratkan hanyalah untuk rakyat merasa wang mereka sendiri daripada caruman di akaun 1 KWSP dan juga lanjutan moratorium bagi meneruskan kelangsungan hidup di tengah-tengah hambatan dan kesempitan yang begitu mencemaskan,” tulisnya lagi.

CATEGORIES