“Ambil air di sungai jam 3 pagi. air paip tiada!” – Warga emas Kelantan

“Ambil air di sungai jam 3 pagi. air paip tiada!” – Warga emas Kelantan

Sejak lebih dua tahun lalu, penduduk Kampung Teluk Renjuna di Tumpat, Kelantan menderita kerana tidak mendapat bekalan air bersih yang mencukupi.

Penduduk termasuk warga emas terpaksa beratur awal pagi untuk mendapatkan bekalan air paip sekali gus menyukarkan urusan seharian mereka termasuk untuk tujuan ibadat.

Hal itu disuarakan sekumpulan penduduk ketika ditemui Youtuber, Hazmi Hassan yang juga Ketua Pemuda AMANAH Kelantan.

“Lama sangat masalah air ini. Malam ada pukul 12, ada sekejap saja. Tengah hari langsung tiada air. Kami terpaksa berbaris tunggu air.

“Rumah saya pula dekat dengan laut, jadi air sungai masin. Sebab itu kami terpaksa tunggu air paip,” kata seorang wanita warga emas.

Walau bagaimanapun, keperitan penduduk berdepan dengan masalah bekalan air bersih dilihat tidak mendapat perhatian kerajaan negeri.

“Tiada mana-mana pemimpin datang tanya khabar. Sebab itu saya sedih sangat,” kata wanita itu lagi.

Seorang surirumah pula memberitahu terpaksa mencuci pakaian sekolah anak menggunakan air hujan memandangkan keadaan air sungai air yang keruh.

Keadaan lebih sukar bagi mereka yang berusia lanjut ekoran masalah bekalan air bersih biarpun kampung itu hanya kurang lima kilometer dari pusat bandar Kota Bharu.

Seorang lelaki warga emas berusia 72 tahun pula menceritakan beliau terpaksa beratur mengambil bekalan air sehingga jam 3 pagi selain terpaksa menggadai keselamatan turun ke sungai mengambil wuduk.

“Saya terpaksa guna air sungai untuk ambil air sembahyang hinggakan kaki pernah kena sengat ikan,” keluhnya.

Mengulas luahan sekumpulan penduduk kampung terbabit, Hazmi yang juga dikenali Jeming merayu kerajaan negeri agar segera bertindak menyelesaikan masalah bekalan air bersih demi kesejahteraan rakyat.

“Hampir menitis air mata saya mendengar rintihan rakyat Kelantan terpaksa turun ke sungai jam 2, 3 pagi. Zalimnya kerajaan Pas Kelantan.

“Kalau rakyat nak ambil air sembahyang pun tiada air, kamu adalah pemimpin yang zalim,” tegas Hazmi lagi.

sumber : https://malaysiadateline.com/krisis-air-kelantan-warga-emas-terpaksa-turun-ke-sungai-masin-untuk-berwuduk/

CATEGORIES