Aktiviti Senaman Zumba Dilarang Di Negeri Terengganu

Aktiviti Senaman Zumba Dilarang Di Negeri Terengganu

Kerajaan Negeri Terengganu sekali lagi menegaskan bahawa aktiviti zumba di negeri ini tidak dibenarkan sejak beberapa tahun lalu, sebaliknya hanya acara senamrobik dengan beberapa syarat ketat diberi kebenaran, lapor portal TRDI

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah , bagi aktiviti senamrobik pihaknya telah memberi penerangan kepada penganjur mengenai garis panduan yang perlu dipatuhi ketika acara itu dilaksanakan supaya ia menepati syariat.

“Pada tahun 2019, syarat dan garis panduan telah diterangkan kepada beberapa persatuan kecergasan berkaitan cara pengendalian program yang berlandaskan agama.

“Dalam masa sama kita beraktiviti sebagai sebuah negeri menjadikan Islam sebagai dasar,” jelasnya.

Wan Sukairi turut menjelaskan syarat-syarat senamrobik yang ditetapkan kerajaan negeri sebelum ini antaranya instruktor lelaki sahaja dibenarkan di tempat terbuka manakala instruktor perempuan dibenarkan untuk peserta perempuan sahaja.

“Penganjuran untuk kaum wanita akan dipindahkan ke kawasan atau dewan-dewan yang sesuai dengan aktivtiti secara tertutup. Bagi tempat awam pula, pihak kami akan mengemukakan cadangan kepada pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk merangka cadangan ruang khas yang lebih mesra pengguna wanita di taman-taman rekreasi awam.

“Konsep reka bentuk itu akan dinilai bersama terlebih dahulu bagi memastikan agar konsep Right Things Right Every Time (betul dan tepat setiap kali) bagi mengelakkan pembaziran dan kegagalan.

“Selain itu, kaum wanita perlu berpakaian longgar dan hanya aktiviti senam robik, senaman regangan biasa dan tai chi sahaja dibenarkan di tempat awam dan tidak dibenarkan aktiviti zumba di tempat awam. Pemilihan muzik juga perlu sesuai dan aksi tidak keterlaluan,” katanya lagi dipetik portal Trdi.my

https://www.trdi.my/tiada-zumba-hanya-senamrobik-bersyarat-dibenar

CATEGORIES