44 ribu rakyat tandatangan petisyen desak Khairuddin letak jawatan

44 ribu rakyat tandatangan petisyen desak Khairuddin letak jawatan

Satu petisyen yang mendesak Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali untuk melepaskan jawatannya kini tersebar luas di media sosial.

Petisyen terhadap menteri Pas yang digerakkan dalam tempoh lima hari itu berjaya mengumpul sokongan lebih dari 44,000 orang dengan sasaran 50,000 tandatangan.

Desakan tersebut direkodkan sebagai yang terbesar jika dibandingkan dengan petisyen yang mendesak peletakan jawatan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada April lalu.

Menerusi laman Change.org, Khairuddin dikecam kerana dengan sengaja telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 apabila tidak menjalani kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara.

Petisyen yang digerakkan Taufiq Latif berpendapat wujud layanan antara dua darjat apabila rakyat biasa yang disahkan negatif Covid-19 masih perlu menjalani kuarantin selama 14 hari tetapi tidak bagi mereka bergelar Menteri.

“Walaupun beliau telah disahkan negatif pada pemeriksaan awal, namun rakyat yang disahkan negatif masih perlu melalui tempoh kuarantin yang sama.

“Rakyat Malaysia mendesak supaya menteri meletakkan jawatan kerana sengaja melanggar arahan kuarantin dan boleh mengakibatkan wujudnya kluster baharu yang kita tidak jangka pada masa akan datang,” katanya.

Kertas siasatan

Sementara itu, Bukit Aman dilaporkan telah membuka kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen Kuala Nerus itu kerana gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah.

Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah, DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata, setakat semalam sebanyak 27 laporan polis diterima seluruh negara berhubung perkara berkenaan.

“Setakat ini, sebanyak 27 laporan polis diterima seluruh negara berhubung perkara berkenaan.

“Kita sudah buka kertas siasatan dan siasatan menyeluruh sedang dilakukan,” katanya lagi.

CATEGORIES