27 Laporan Polis, Akan Disiasat – PDRM

27 Laporan Polis, Akan Disiasat – PDRM

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali kerana gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah selepas pulang dari Turki pada 7 Julai.

Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan perkara itu kepada Bernama TV, hari ini.

Katanya, 27 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung perkara berkenaan, setakat ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengesahkan Mohd Khairuddin dikompaun RM1,000 selepas gagal mematuhi kuarantin wajib mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Mohd Khairuddin sudah menjelaskan kompaun itu.

Semalam, beliau turut memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan mengumumkan akan memulangkan gaji sebagai menteri bagi Mei hingga Ogos sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19). -HARIAN METRO

CATEGORIES